AM

Tindakan Pantas Anas, Athir Selamat Warga Emas Bukti Bomba Sentiasa Siap Siaga

28/04/2026 04:55 PM

SIK, 28 April (Bernama) -- Tindakan pantas dua anggota bomba yang berjaya menyelamatkan dua wanita termasuk seorang warga emas dalam kebakaran gerai di Felda Sungai Tiang, Pendang baru-baru ini membuktikan bahawa pasukan penyelamat itu sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang insiden.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata tindakan berani Mohamad Anas Elyas, 33, dan Muhammad Athir Maula Mat Esaha, 34, wajar dipuji dan dijadikan contoh oleh semua pihak.

"Anggota bomba yang terlatih sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan sebarang kecemasan dan melaksanakan usaha penyelamatan. Kami bersyukur kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa kecederaan serius hasil tindakan pantas anggota serta bantuan orang awam.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa pastikan keselamatan penggunaan gas dan sediakan alat pemadam api di premis mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada dua anggota itu sempena lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik di sini.

Sementara itu, Mohamad Anas yang bertugas di Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menyifatkan kejadian tersebut sebagai antara pengalaman paling berharga sepanjang perkhidmatannya dan bersyukur serta bangga atas penghargaan yang diterima daripada pihak jabatan serta sokongan positif orang awam.

Beliau berkata walaupun berdepan kekangan dari segi peralatan memadam kebakaran ketika itu, keutamaannya adalah menyelamatkan mangsa terlebih dahulu sebelum memikirkan tindakan memadam kebakaran.

“Orang melihat kami sebagai anggota penyelamat. Walaupun tidak lengkap beruniform ketika itu, kami tetap dipanggil untuk membantu. Apa yang bermain di fikiran hanyalah untuk selamatkan mangsa dahulu, kemudian barulah fikir cara memadam api,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Athir menasihatkan pemilik premis khususnya peniaga makanan dan kedai runcit agar menyediakan alat pemadam api sebagai langkah awal menghadapi kebakaran.

"Setiap premis sebaiknya mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam api, sama ada jenis ABC atau CO2, namun jenis ABC seberat sembilan kilogram lebih sesuai sebagai persediaan kerana kejadian boleh berlaku tanpa diduga,” katanya.

Pada 19 April lepas, kedua-dua anggota berkenaan yang kebetulan singgah di medan selera berhampiran Masjid Al Falah di Sungai Tiang, berjaya menyelamatkan dua wanita selepas kebakaran tercetus di bahagian dapur gerai pada 5.15 petang.

Tindakan pantas serta aksi berani mereka yang dirakamkan orang ramai kemudian tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan