JENAYAH & MAHKAMAH

Kertas Siasatan Pegawai Tentera Disyaki Pandu Mabuk Diserah Esok

29/04/2026 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kertas siasatan kes kemalangan maut melibatkan pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol akan diserahkan kepada pengarah pendakwaan negeri esok untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata polis juga telah mendapat lanjutan reman hingga esok terhadap lelaki berusia 31 tahun itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis telah merekodkan keterangan 12 saksi bagi tujuan siasatan kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta pada 5.38 pagi, 23 April lepas.

Siasatan awal polis mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang e-hailing lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang penumpang wanita juga warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan