PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pelucuthakan RM24,460 daripada akaun bank miliknya kepada kerajaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Wong Kian Keong bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan Muhammad Ammar Shamsul.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Hayatul Akmal berkata mahkamah berpuas hati bahawa elemen di bawah Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 telah dipenuhi.
Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk memerintahkan pelucuthakan wang itu adalah berdasarkan tiga afidavit difailkan Timbalan Pendakwa Raya dan dua pegawai penyiasat daripada Jabatan Kastam, yang memadai atas imbangan kebarangkalian untuk mewajarkan perintah berkenaan.
“Kami juga mendapati perayu hanya memfailkan satu afidavit jawapan tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh,” katanya, sambil menambah Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu sekadar membuat penafian kosong.
Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak jumlah wang berkenaan daripada tiga akaun bank milik Muhammad Ammar.
Jumlah yang dilucut hak ialah RM5,201.52 daripada akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), Ambank Islamic Berhad (RM593.33) dan Maybank Islamic Berhad (RM18,664.78).
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa Muhammad Ammar, 31, gagal membuktikan wang dalam akaun banknya diperoleh daripada sumber yang sah.
Pendakwa Raya telah memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi pelucuthakan wang berkenaan atas alasan ia merupakan hasil haram daripada aktiviti menyalahi undang-undang iaitu pengedaran dadah berbahaya.
Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mewakili Muhammad Ammar, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli dan Allan Suman Pillai mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial