EKONOMI

MIDA, Kedutaan Jepun Teroka Kerjasama Lebih Mendalam Untuk Perniagaan Jepun

28/04/2026 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kedutaan Jepun di Malaysia telah bersetuju untuk meneroka rangka kerja kerjasama yang dipertingkat bagi menyokong perniagaan Jepun yang ingin menubuhkan atau mengembangkan operasi di Malaysia.

Menurut MIDA kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan ekonomi melalui daya tahan rantaian bekalan dan transformasi hijau, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara Malaysia dan inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Asia oleh Jepun.

“Kerjasama itu juga akan memberi tumpuan kepada sektor teknologi bernilai tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan dan pembuatan termaju.

"Melangkah ke hadapan, pelaburan Jepun dijangka meningkat merangkumi sektor pembuatan, semikonduktor, transformasi digital dan kemampanan pada 2026," katanya.

Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia dan Jepun telah lama menjadi rakan kongsi ekonomi yang boleh dipercayai, dan hubungan itu dibina melalui kerjasama selama beberapa dekad dalam pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

“Asas kukuh ini meletakkan kedua-dua negara dalam kedudukan yang baik untuk fasa pertumbuhan seterusnya. Dalam persekitaran global yang tidak menentu hari ini, penyelarasan yang lebih erat dan sokongan bersama adalah penting untuk mengekalkan daya tahan dan kestabilan di seluruh rantaian bekalan kita.

“Malaysia dan MIDA khususnya, komited sepenuhnya untuk menyediakan dasar yang jelas dan pelaksanaan yang cekap -- asas-asas yang terus menyokong kestabilan jangka panjang Malaysia sebagai destinasi pelaburan, memberi keyakinan kepada perniagaan Jepun untuk mewujudkan atau mengembangkan operasi di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian pada sesi bual santai bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata di ibu pejabat MIDA di sini.

Sementara itu, Shikata turut senada dengan Tengku Zafrul dan menekankan bahawa persekitaran global semasa memerlukan kerjasama yang lebih erat dalam daya tahan rantaian bekalan dan pemodenan industri.

“Malaysia telah lama menjadi antara rakan ekonomi terpenting Jepun di Asia Tenggara. Kerjasama kita berasaskan kepercayaan bersama dan telah diperkukuh melalui kerjasama pelaburan, perdagangan dan perindustrian selama beberapa dekad. 

“Dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu hari ini, kerjasama yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia adalah lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya.

Sesi bual santai itu dihadiri kira-kira 100 peserta termasuk pihak berkepentingan utama kerajaan Malaysia serta wakil penting komuniti perniagaan dan kewangan Jepun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan