Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini melaksanakan siri program bagi memperkukuh ekonomi digital Malaysia selain melonjakkan peralihan kepada sebuah negara dipacu kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Anuar Fariz Fadzil berkata usaha bermakna itu memaparkan evolusi agensi berkenaan daripada detik-detik awal penubuhan kepada peranan semasa sebagai peneraju transformasi digital negara.
“Pada tahun ini kami menjalankan pelbagai program bersempena ulang tahun ke-30 MDEC. Mengimbau semula perjalanan ini, kami dapat menyaksikan bagaimana AI telah mengubah persekitaran serta maknanya kepada Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai kunjungan MDEC ke Wisma Bernama di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Mengulas selanjutnya, Anuar Fariz berkata Malaysia kini semakin giat dalam meletakkan kedudukan sebagai sebuah negara yang dipacu AI dengan teknologi digital berperanan penting merentasi pelbagai industri, termasuk media dan operasi perniagaan.
Beliau turut berkongsi usaha berterusan MDEC yang menumpukan inisiatif seperti akses pasaran, pendigitalan perniagaan serta pembangunan bakat bagi memastikan pertumbuhan inklusif di sepanjang ekosistem digital.
“Kami menumpukan aspek bagaimana AI dan teknologi dapat meningkatkan produktiviti dan menjadikan Malaysia lebih makmur serta memastikan tiada pihak yang ketinggalan.
“Itulah impak terbesar sambutan ulang tahun ke-30 kami iaitu untuk dapat menyumbang semula kepada Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Anuar Fariz turut menekankan kepentingan dalam memanfaatkkan AI dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan serta produktiviti ketika cabaran global terus mempengaruhi landskap ekonomi.
Beliau juga menyifatkan keadaan semasa yang bercirikan ketidaktentuan geopolitik serta isu berkaitan tenaga, hanya memerlukan tumpuan lebih kukuh ke atas penerimagunaan teknologi demi mengekalkan pertumbuhan serta daya tahan.
“Dunia kini amat berbeza dengan cabaran geopolitik serta isu-isu tenaga. Perkara utama adalah bagaimana kita dapat menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan. AI adalah pemangkin terbesar dan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup rakyat Malaysia.
“Gangguan rantaian bekalan kekal menjadi isu penting. Tumpuannya adalah bagaimana dapat mengurus serta melindungi diri. Teknologi adalah pengupaya terbaik,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial