JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buka Kertas Siasatan Video Tular Individu Perlekeh Anggota Bertugas

26/04/2026 06:19 PM

KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Polis membuka kertas siasatan berhubung sebuah rakaman video tular menerusi media sosial, yang memaparkan tindakan seorang individu lelaki memperlekehkan anggota polis yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai kanan polis berhubung video yang dimuat naik di laman Facebook itu, kira-kira 10 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati individu dalam video berkenaan turut mendakwa bahawa dia telah berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota yang bertugas.

"Kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat, di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau memaklumkan bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekehkan tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan keselamatan atau menghakis keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang toleransi," katanya.

Mohd Yusoff turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial, serta tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penganjuran program “Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB” yang didakwa dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan, bermula 5 hingga 7 petang.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilapor berkata tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan menganjurkan konvoi Mat Motor ke  LTSIP merupakan perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan