KEPALA BATAS, 26 April (Bernama) -- Strategi perdagangan Malaysia kini memberi tumpuan kepada kepelbagaian pasaran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mana-mana rantau tertentu, selain memperkukuh daya tahan eksport negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pendekatan itu dilaksanakan menerusi “Diversification Programme” yang memberi fokus kepada perluasan destinasi eksport ke kawasan bukan konflik seperti Asia Tengah dan Afrika.
Beliau berkata eksport Malaysia ke Asia Barat ketika ini hanya merangkumi kira-kira 2.7 peratus, sekali gus menunjukkan ruang besar untuk diperluaskan melalui strategi kepelbagaian pasaran.
“Strategi yang kita laksanakan adalah pendekatan dua serampang, iaitu kepelbagaian pasaran dan pengukuhan kerjasama Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),” katanya selepas Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Permatang Sintok, di sini, yang dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Reezal Merican berkata teras pertama melibatkan peluasan destinasi eksport ke rantau yang lebih stabil seperti Asia Tengah, Asia Tenggara dan Afrika, yang dikenal pasti mempunyai risiko konflik lebih rendah.
Katanya, teras kedua pula menumpukan kepada pemanfaatan perjanjian FTA yang menyediakan akses pasaran lebih luas dengan pengurangan atau penghapusan halangan tarif.
“Rakan FTA kita telah membuka akses pasaran yang besar, banyak halangan tarif telah dikurangkan atau dihapuskan. Maka kita perlu memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan eksport,” katanya.
Beliau berkata strategi itu turut merangkumi pendekatan “regain and retain”, iaitu mengenal pasti pasaran yang boleh dipulihkan atau dikekalkan, termasuk negara dengan defisit perdagangan relatif kecil.
Reezal Merican turut menekankan keperluan menangani gangguan rantaian bekalan global, dengan menyatakan bahawa sektor seperti elektronik mungkin kurang terjejas, namun industri berkaitan makanan dan halal lebih terdedah kerana bergantung kepada pasaran pengguna utama di rantau tertentu.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan menyeluruh kerajaan amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, melibatkan penyelarasan antara kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beliau berkata MATRADE akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan penyelarasan dan sinergi yang lebih kukuh dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi persekitaran perdagangan global yang semakin mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial