AM

Kerajaan Pantau Rapat Perkembangan Misi GSF 2.0 - Amirudin

13/04/2026 09:31 AM

Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah

BARCELONA, 13 April (Bernama) -- Kerajaan akan sentiasa memantau secara rapat perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memastikan keselamatan setiap peserta dari Malaysia terjamin sepanjang berada di zon berisiko.

Bercakap dari atas kapal melalui pembesar suara kepada para aktivis ketika memantau keadaan mereka yang telah memulakan pelayaran di Laut Mediterranean, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ketua delegasi turut memuji kecekalan delegasi negara yang sanggup berdepan risiko demi misi bantuan tersebut.

“Kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa, memastikan kelancaran, keselamatan kepada semua delegasi yang datang bersama kita,” katanya ketika mendekati peserta misi berkenaan bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat Malaysia.

Amirudin yang diiringi sekumpulan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut memberi kata-kata semangat kepada aktivis Malaysia selain mendoakan agar pelayaran yang membawa bantuan kemanusiaan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan hingga mencapai matlamat utamanya.

“Sekali lagi kepada semua delegasi Malaysia, saya ucapkan salam tahniah khusus daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan yang telah diberikan.

“Kita doakan perjalanan kita yang baru bermula akan lancar, sampailah dapat kita mencapai misi Sumud Flotilla 2.0. Doa rakyat Malaysia untuk anda semua,” katanya.

GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

Misi itu turut disertai petugas Bernama iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan