KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX semalam, direman selama lima hari hingga 28 April ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata Majistret Guftan Nor Asyikin Murlikamal membenarkan permohonan reman berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Permohonan reman dibuat pada 10.45 pagi tadi di Bilik Reman Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan reman dibenarkan selama lima hari bermula hari ini hingga Selasa depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Mohd Zamzuri dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.38 pagi membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dengan sebuah kereta Ford Fiesta.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera berumur 31 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mohd Zamzuri berkata akibat perlanggaran itu, seorang penumpang e-hailing lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata pemandu e-hailing itu turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta dan seorang penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun juga cedera.
Mohd Zamzuri berkata ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial