JOHOR BAHRU, 6 April (Bernama) -- Seorang wanita bersama anak saudara lelaki berusia lapan tahun maut dalam kemalangan di Jalan Gunung Pulai di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta kira-kira 5 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita tempatan berumur 32 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun dari arah tol Kulai ke Gunung Pulai, telah hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
“….motosikal itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita tempatan berumur 54 tahun.
“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan ringan sedang menerima rawatan di Hospital Kulai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial