AM

Kumpulan Pertama Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Makkah

24/04/2026 11:57 AM

MAKKAH, 24 April (Bernama) -- Rasa teruja bercampur sebak mengiringi ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di bumi Makkah selepas enam hari berada di Madinah.

Seramai 260 jemaah kumpulan KT01 tiba pada 4.30 petang Khamis waktu tempatan dan ditempatkan di Hotel Abraj Al Tayseer yang turut menjadi ibu pejabat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah.

Kumpulan jemaah itu disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun serta petugas TH.

Bermula 9 malam Khamis, jemaah dijadualkan menunaikan umrah wajib secara berperingkat di Masjidil Haram.

Secara keseluruhan, seramai 841 jemaah daripada tiga kumpulan awal akan berada di Makkah pada Khamis, dengan kumpulan KT02 melibatkan 260 jemaah dijadual tiba pada 5.30 petang.

Kumpulan jemaah itu ditempatkan di tiga lokasi iaitu Al Tayseer (260 jemaah), Al Kiswah (326) dan Al Qasr (255).

Perjalanan ke Makkah itu menjadi detik penting buat jemaah untuk memulakan umrah, sebelum menunaikan kemuncak ibadah haji - satu detik yang dinanti-nantikan dengan penuh rasa syukur dan keinsafan.

Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan