Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Keterjaminan tenaga Malaysia akan terus dipacu oleh ekosistem berdaya tahan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, terutama penggiat perkhidmatan peralatan minyak dan gas (OGSE) yang kekal menjadi komponen penting dalam rantaian bekalan industri berkenaan.
Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) Syed Saggaf Syed Ahmad berkata ini berikutan kerjasama kukuh antara pengendali dan penggiat OGSE dilihat sebagai penting bagi mengharungi ketidaktentuan semasa selain gangguan dan kejutan luar.
Beliau berkata walaupun industri OGSE menyumbang lima peratus hingga lapan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), segmen itu lebih terdedah kerana kira-kira 80 peratus penggiatnya merangkumi syarikat tahap pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai margin serta rizab modal yang terhad.
“Ini hanya menegaskan lagi keperluan penglibatan pengendali dan penggiat OGSE secara berterusan dan bermakna untuk memastikan kelestarian keseluruhan rantaian nilai,” katanya kepada Bernama.
Konflik Asia Barat bentuk semula dinamik industri
Industri OGSE sedang mengalami perubahan ketara yang didorong oleh faktor makro termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, inflasi dan pasaran tenaga yang kian tidak menentu serta membentuk semula operasi di sepanjang sektor.
Ketika konflik Asia Barat masih berlanjutan, kalangan penggiat industri juga terpaksa berdepan realiti untuk melakukan semula penjajaran dengan pantas selain bertindak mengukuhkan daya tahan mengharungi cabaran lebih ketara.
Walaupun bekalan bahan api Malaysia dijangka mencukupi sehingga Jun, industri itu masih tidak terkecuali daripada tekanan cabaran yang ketara.
Kos pengangkutan telah meningkat 47 peratus hingga 176 peratus manakala premium insurans melonjak sehingga 337 peratus sejak bermulanya krisis bekalan global.
Berlatar belakang keadaan itu, Presiden Persatuan Pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir (OSV) Malaysia atau MOSVA Jamalludin Obeng berkata ekosistem perkhidmatan luar pesisir yang sebelum ini dipacu oleh kitaran harga minyak dan perbelanjaan huluan serta rancangan projek syarikat minyak yang besar serta syarikat nasional, kini dihimpit ketidaktentuan.
Beliau berkata gangguan di sepanjang laluan kritikal seperti Selat Hormuz, berpotensi mempengaruhi ketetapan pengeluaran ke rantau lain termasuk Asia Tenggara yang pada masa sama memberi cabaran serta peluang untuk penggiat di Malaysia.
“Dari segi jangka pendek, pengendali berdepan peningkatan kos seperti bahan api, pergerakan anak kapal dan pematuhan. Bagi jangka pertengahan, peningkatan aktiviti huluan boleh menyokong peningkatan permintaan bagi OSV,” kata Jamalludin.
Beliau berkata pemilik kapal berkenaan juga bergelut dengan peningkatan harga bahan api dan minyak gas marin (MGO), kos berkaitan anak kapal dan penyelenggaraan, keperluan pengawalseliaan yang berubah selain margin komersial lebih ketat dan memerlukan disiplin pengoperasi yang ketara.
Keadaan itu hanya menunjukkan kepentingan untuk memaksimumkan penggunaan kumpulan kapal atau armada, pengurangan masa, memastikan kebolehpercayaan aset, terutama kapal yang berusia dan mampu memberi sumbangan komersial tanpa kompromi aspek keselamatan.
Secara keseluruhannya, persekitaran itu hanya menuntut penyedia perkhidmatan luar pesisir untuk menjadi lebih cekap, berdisiplin serta berdaya tahan.
Memperkukuh daya tahan industri
Syed Saggaf menekankan sektor OGSE Malaysia kekal pada landasan yang konstruktif, disokong oleh aktiviti huluan dan pertengahan aliran yang berterusan selain keutamaan Malaysia dalam memastikan keterjaminan tenaga bagi jangka panjang.
Sejajar peralihan struktur yang dialami industri, beliau berkata minyak dan gas akan terus memainkan peranan strategik walaupun peralihan tenaga semakin giat.
Malah, ini diperkukuhkan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menunjukkan bahan api fosil, terutamanya gas asli, akan terus memainkan peranan besar dalam campuran tenaga Malaysia sehingga 2050.
“Realiti itu menekankan lagi kepentingan berterusan sektor ini, bukan setakat nadi sistem tenaga, tetapi juga sebagai pemudah utama yang menyokong peralihan negara ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari,” kata Syed Saggaf.
Beliau berkata, selain situasi global dan serantau yang tidak menentu, landskap yang sedang berkembang turut dipengaruhi oleh persekitaran dasar yang sentiasa berubah.
Syed Saggaf menegaskan bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, memberikan cabaran dan peluang kepada industri.
Berikutan keterbukaan pasaran yang semakin meningkat, beliau menekankan keperluan terhadap langkah proaktif untuk mengukuhkan daya saing melalui pembangunan keupayaan, peningkatan produktiviti, penerimagunaan teknologi dan perkongsian strategik.
Pembangunan bakat masih menjadi keutamaan berikutan persaingan daripada sektor lain yang semakin meningkatkan jurang tenaga kerja. Walaupun automasi dan pendigitalan semakin berkembang, masih banyak bahagian dalam rantaian nilai masih bergantung kepada pekerja teknikal berkemahiran yang penting untuk memastikan operasi yang boleh dipercayai.
“Ketika industri berdepan landskap yang semakin kompleks dan berubah, pada akhirnya daya tahan akan bergantung kepada keupayaan kita untuk melakukan penyesuaian, bekerjasama dan melabur untuk jangka panjang bagi memastikan sektor ini kekal berdaya saing, mampan dan bersedia untuk menyokong masa depan tenaga negara,” katanya.
Prospek OGSE terus berhati-hati namun optimis
Melangkah maju, Syed Saggaf berkata komitmen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengekalkan pengeluaran kira-kira dua juta tong setara minyak sehari dijangka menyokong perbelanjaan modal yang berterusan bagi pembangunan baharu atau medan minyak sedia ada.
Pada masa yang sama, perbelanjaan operasi juga dijangka diteruskan bagi meningkatkan kebolehpercayaan, kecekapan dan memanjangkan jangka hayat aset.
Beliau berkata MOGSC kekal berhati-hati namun optimis bahawa 2026 akan menjadi tahun yang lebih baik, dengan pertumbuhan terpilih masih dijangkakan dalam segmen huluan, dipacu oleh aktiviti penerokaan, penggerudian dan pembangunan.
Menurutnya aktiviti ini akan menyokong permintaan dalam perkhidmatan kejuruteraan, fabrikasi, pengangkutan, pemasangan serta penyambungan dan pengoperasian.
Walaupun permintaan terhadap pelantar penggerudian dan kapal sokongan luar pesisir dijangka kekal stabil, prospek bagi sektor hiliran adalah lebih positif, disokong oleh pembinaan yang sedang dilaksanakan bagi kemudahan di darat dan aktiviti penyelenggaraan berjadual, khususnya di Pengerang.
“Penggiat OGSE tempatan berpeluang mendapat manfaat daripada perkembangan ini, terutama melalui penglibatan dalam projek besar kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) di darat sebagai subkontraktor serta memanfaatkan keupayaan teknikal dan kepakaran tempatan mereka,” kata Syed Saggaf.
Jamalludin berkata langkah sokongan termasuk persekitaran operasi yang lebih kondusif serta potensi penambahbaikan rangka kerja fiskal boleh mengukuhkan lagi daya tahan industri dalam persekitaran semasa yang tidak menentu.
Membina kerjasama lebih kukuh penting bagi kemampanan
Kerajaan telah memberi jaminan kepada rakyat bahawa usaha untuk melindungi bekalan bahan api sedang diselaras melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara, dengan memfokuskan kepada pengukuhan daya tahan tenaga negara serta memastikan kehidupan harian tidak terjejas dalam situasi global yang tidak menentu.
Bagi menyokong aspek ini, Petronas bersama penggiat industri OGSE memanfaatkan rantaian nilai bersepadu untuk membekalkan hampir 50 peratus daripada permintaan bahan api Malaysia manakala selebihnya disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di negara ini.
Sehubungan itu, kerjasama berterusan antara Petronas, penggiat industri, agensi berkaitan dan kerajaan kekal penting bagi mengekalkan bekalan bahan api yang stabil dan berdaya tahan.
Menurut Jamalludin kerjasama yang lebih erat antara pengendali dan penyedia perkhidmatan meningkatkan kecekapan. Penambahbaikan itu dicapai melalui kebolehlihatan yang dipertingkatkan terhadap permintaan, jadual, keperluan kapal serta keutamaan operasi.
Sehubungan itu, perancangan yang lebih baik, peruntukan aset yang cekap dan tindak balas yang pantas terhadap gangguan dapat dilaksanakan.
“Kerjasama sedemikian juga perlu disokong oleh struktur kontrak jangka panjang yang memberi kestabilan dan kepastian yang diperlukan oleh penyedia perkhidmatan, terutamanya apabila institusi kewangan memerlukan aliran tunai yang lebih pasti sebelum memberikan pembiayaan, terutamanya untuk membeli kumpulan kapal baharu dan pelaburan modal,” katanya.
Melalui kontrak yang lebih jelas, penyedia perkhidmatan lebih bersedia untuk mendapatkan pembiayaan, melabur semula dalam aset dan mengekalkan kesiapsiagaan operasi sekali gus mengubah ekosistem daripada bersifat reaktif kepada lebih bersedia dan berdaya tahan.
“Dalam erti kata lain, walaupun Petronas berperanan penting sebagai tunjang kepada ekosistem domestik, pendekatan yang lebih bersepadu akan memastikan ekosistem OGSE Malaysia kekal berdaya saing, mampan dan lebih bersedia untuk berdepan ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial