DUNIA

Ketidaktentuan Minyak Global Bukan Ulangan Krisis 1970-an - Penganalisis

23/04/2026 08:57 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat kini menjejaskan laluan perkapalan utama di sekitar Selat Hormuz dan Laut Merah, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran minyak global serta meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi, pertumbuhan dan kestabilan fiskal dunia.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat situasi semasa amat berbeza berbanding kejutan minyak pada tahun 1973 dan 1979 yang dicirikan oleh gangguan bekalan yang teruk serta kekurangan bahan api.

Harga minyak melonjak sebanyak 300 hingga 400 peratus semasa sekatan Arab pada 1973 dan kira-kira 150 peratus susulan Revolusi Iran pada 1979, yang mencetuskan catuan bahan api dan stagflasi yang berpanjangan.

Sebaliknya, ketegangan pasaran ketika ini lebih bersifat ketidaktentuan harga berbanding kekurangan fizikal, dengan harga minyak mentah meningkat daripada sekitar US$70 – US$80 setong kepada kira-kira US$90 – US$110 setong.

Gangguan itu telah meningkatkan premium risiko, kos insurans dan kadar tambang, sekali gus memberi tekanan kepada kenaikan harga minyak walaupun bekalan global masih terus mengalir, kata penganalisis.

 

Pasaran Minyak Kini Lebih Berdaya Tahan

 

Ketua Pegawai Akademik Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pasaran minyak hari ini lebih berdaya tahan berbanding tahun 1970-an, dengan gangguan sebahagian besarnya dicerminkan melalui harga dan bukannya kekurangan bekalan secara fizikal.

"Krisis minyak 1970-an ditakrifkan oleh kehilangan bekalan yang membawa kepada catuan dan barisan panjang di stesen minyak. Hari ini, minyak masih mengalir, tetapi pada kos yang lebih tinggi disebabkan premium risiko," katanya.

Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata daya tahan ini didorong oleh pangkalan bekalan global yang lebih pelbagai.

"Berbeza dengan tahun 1970-an apabila pengeluar Asia Barat mendominasi pasaran, bekalan hari ini datang daripada asas yang lebih luas termasuk Amerika Syarikat (AS), Brazil, Kanada dan Guyana," katanya sambil menambah bahawa AS kini merupakan pengeluar terbesar dunia hasil daripada revolusi minyak syal.

 

Simpanan Strategik, Pasaran Bentuk Kedinamikan Harga

 

Yeah berkata simpanan petroleum strategik dan pasaran kewangan kini memainkan peranan utama dalam menstabilkan harga minyak.

"Simpanan stok yang besar dalam ekonomi utama boleh dilepaskan semasa gangguan berlaku, manakala harga minyak hari ini turut dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan dan persepsi risiko," katanya.

Beliau berkata situasi semasa tidak dianggap sebagai kejutan bekalan yang sebenar, sebaliknya lebih didorong oleh kedinamikan harga dan sentimen.

 

Titik Genting dan Kunci Logistik kepada Risiko Semasa

 

Yeah mengingatkan bahawa penutupan berpanjangan di Selat Hormuz - yang menjadi laluan kepada kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global - boleh mencetuskan krisis yang lebih parah.

Pakar geostrategi dan felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan berkata perbezaan itu juga jelas dilihat melalui kesan krisis terhadap pengguna.

"Pada 1970-an, ekonomi maju sekalipun mengalami kekurangan petrol dan barisan panjang. Hari ini, bekalan tetap ada tetapi harganya lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Profesor James Chin dari Universiti Tasmania berkata cabaran semasa lebih menjurus kepada aspek logistik berbanding bekalan.

"Terdapat bekalan minyak yang mencukupi di peringkat global. Isunya adalah menggerakkannya secara cekap berbanding gangguan di titik-titik genting," katanya sambil menambah kenaikan harga hari ini adalah tidak seteruk dalam tahun 1970-an.

Menyentuh mengenai kedinamikan pasaran, Yeah berkata evolusi daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC) kepada OPEC+ telah menjadikan penyelarasan lebih kompleks, walaupun kumpulan itu masih memainkan peranan utama dalam mempengaruhi bekalan dan harga.

Beliau turut menekankan kepentingan pengeluaran minyak syal AS sebagai penyerap kejutan utama yang membolehkan bekalan bertindak balas lebih cepat terhadap isyarat harga.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan titik-titik genting seperti Selat Hormuz dan Laut Merah masih lagi dalam keadaan rentan dan sebarang gangguan berpanjangan atau kerosakan kepada infrastruktur mampu mengurangkan dan melengahkan pemulihan.

 

Permintaan Global Bentuk Semula Pasaran

 

Yeah berkata corak permintaan global telah beralih secara ketara dengan China dan India kini memacu penggunaan.

"China lebih berdaya tahan kerana strategi mempelbagaikan tenaganya sementara India adalah lebih terdedah tetapi sedang mencari sumber bekalan alternatif secara aktif,” katanya. 

Kerapuhan ekonomi negara maju telah menurun disebabkan oleh intensiti minyak yang lebih rendah dan sistem tenaga yang lebih pelbagai, biarpun risiko masih ada.

"Kejutan minyak hari ini disalurkan menerusi harga, inflasi dan pasaran kewangan dan bukannya kekurangan bekalan fizikal, katanya sambil menambah sementara permintaan mungkin menyusut di tengah-tengah kenaikan harga, risiko stagflasi yang berpanjangan kekal lebih rendah berbanding tahun 1970-an, melainkan berlaku lonjakan konflik yang besar.

 

Kesan Tidak Sekata di Asia Tenggara

 

Di Asia Tenggara, Yeah berkata pendedahan risiko kekal tidak sekata dengan ekonomi yang bergantung kepada import lebih terdedah kepada kejutan harga.

"Negara pengeksport seperti Malaysia masih berdepan risiko disebabkan perdagangan yang saling berkait dan ketidaktentuan harga," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa subsidi, walaupun melindungi pengguna, boleh membebankan kewangan kerajaan jika harga tinggi berterusan.

Barjoyai menyifatkan persekitaran semasa sebagai "bahaya dalam bentuk berbeza".

"Sistem ini lebih berdaya tahan, tetapi juga lebih saling berkaitan. Risiko utama bukanlah kehabisan minyak, tetapi kegagalan menguruskan ketidaktentuan berkenaan," katanya.

Secara keseluruhan, penganalisis bersetuju bahawa walaupun ulangan krisis minyak 1970-an tidak mungkin berlaku, cabaran sebenar terletak pada menguruskan ketidaktentuan sebelum ia melimpah kepada ketidakstabilan ekonomi yang lebih luas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan