AM

KIBAR 2026 Bukan Program Sekali Sahaja, Suara Belia Diangkat Ke Peringkat Tertinggi

23/04/2026 02:28 PM

SEPANG, 23 April (Bernama) -- Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya menekankan kesinambungan melalui susulan berterusan melibatkan pelbagai pihak, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata program itu akan dilengkapi dengan pengumpulan data anak muda dan penilaian keberkesanan, diikuti proses susulan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta agensi berkaitan.

“Selepas sahaja program ini, kami mempunyai data anak muda dan keberkesanan program. Akan ada tindakan susulan di bawah JBSN dan agensi-agensi yang terlibat. Kami nak pastikan ada kesinambungan program ini.

“Selepas sahaja program tamat, kami bersama Majlis Belia dan pertubuhan-pertubuhan lain. Kami akan kumpulkan semula peserta program ini untuk bersama dalam setiap aktiviti berkaitan belia. Itu adalah perkara yang paling penting dan ini bukan program sekali sahaja,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran KIBAR 2026 di sini hari ini.

Taufiq berkata suara anak muda akan terus diberi ruang dan perhatian secara berterusan serta tidak terhenti seiring berakhirnya program KIBAR 2026.

“Setiap suara atau persoalan yang disuarakan oleh anak-anak muda, kami akan angkat ke peringkat tertinggi, insya-Allah. Setiap pandangan mereka akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN),” katanya.

KIBAR 2026 adalah inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dirangka melalui pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasa golongan belia akar umbi, khususnya belia tidak berpersatuan.

Program itu akan dilaksanakan melalui 17 siri di 17 lokasi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dr Mohammed Taufiq ketika mengulas mengenai perancangan KBS dalam menghadapi krisis bekalan global, khususnya terhadap golongan belia berkata kementerian itu akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kefahaman belia mengenai krisis itu, di samping mengangkat suara golongan berkenaan yang dilihat berusaha mencari solusi secara bersama.

“KBS sentiasa memastikan anak muda faham tentang krisis bekalan global. Kami juga didik anak muda supaya tidak berbelanja umpama tiada hari esok,” katanya.

Beliau berpandangan krisis bekalan global tidak wajar dipolitikkan kerana ia di luar jangkaan dan memberi kesan langsung kepada ekonomi, sebaliknya mengajak semua pihak berganding bahu tanpa mengira perbezaan politik bagi menangani kesan kejutan luaran, memastikan kestabilan negara serta mengurangkan beban kos sara hidup.

“Kita juga perlu bersama-sama memastikan anak muda mempunyai peluang pekerjaan dan mampu mendepani kos sara hidup, selain menasihati mereka agar tidak terpengaruh dengan berita palsu walaupun terdapat pihak cuba membakar sentimen serta memburukkan keadaan krisis ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan