AM

SRIKE-SPRM Boleh Jadi Model Amalan Semua Agensi Penguatkuasaan - KP SPRM

22/04/2026 08:14 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Modul Program Kesedaran Strategik Pengurusan Berat Badan, Kesihatan dan Kawalan Metabolik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau STRIKE-SPRM boleh dijadikan contoh dan ikutan oleh agensi penguatkuasaan lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Azam Bakiberkata program itu membuktikan bahawa pendekatan sistematik, khidmat kumpulan profesional serta disiplin diri yang tinggi mampu membantu pengurusan berat badan dan kesihatan metabolik dicapai secara berkesan dan mampan.

“Semoga SPRM menjadi contoh dan ikutan kepada agensi penguatkuasaan lain, seterusnya membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan peserta, khususnya mereka yang berjaya bukan sahaja menurunkan berat badan, malah memperbaiki tahap kesihatan termasuk mengawal penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis penutupan Program STRIKE-SPRM yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata kejayaan program tersebut tidak harus bersifat sementara, sebaliknya perlu diteruskan melalui amalan gaya hidup sihat, disiplin berterusan serta pemahaman mendalam mengenai tindak balas badan terhadap perubahan kadar metabolik, pemakanan dan aktiviti fizikal.

Sementara itu, Ketua Projek STRIKE-SPRM yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata cabaran utama peserta bukan hanya menurunkan berat badan tetapi mengekalkan pencapaian serta konsisten mengamalkan modul program berkenaan.

Program STRIKE-SPRM yang bermula sejak 24 Julai 2025 itu membabitkan 180 pegawai dan warga SPRM melalui kerjasama, khidmat nasihat serta sokongan profesional UPM dan Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS).

Penyertaan program ini adalah secara sukarela berasaskan kesedaran diri untuk menjaga kesihatan, imej serta keterampilan profesional warga SPRM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan