AM

Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa "P_P" Terima Sambutan Memberangsangkan - JPJ

23/04/2026 06:49 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri “P_P” melalui sistem dalam talian JPJeBid menerima sambutan yang amat memberangsangkan sejak dibuka pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata lebih 6,000 pembida telah mengambil bahagian setakat ini, mencerminkan kecenderungan berterusan orang ramai terhadap nombor pendaftaran kenderaan bernilai premium.

“Beberapa nombor utama turut mencatatkan persaingan sengit manakala nombor-nombor popular terus menjadi pilihan dalam kalangan pembida,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly turut menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menyertai bidaan siri “P_P” yang kini berbaki sehari sahaja lagi sebelum ditutup. 

JPJ membuka bidaan NPI dengan tanda indeks “P_P” sempena sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu, selama lima hari bermula 20 April lepas.

Penawaran siri eksklusif berkenaan adalah simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

Harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori, iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan