KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- YTL Cement Bhd hari ini mengeluarkan dokumen tawaran berkaitan pengambilalihan mandatori tanpa syarat ke atas baki saham belum dimilikinya dalam Concrete Engineering Products Bhd (CEPCO) dengan tarikh tutup pertama tawaran pada 5 petang, 13 Mei 2026.
Tawaran tunai sebanyak RM2.60 sesaham itu dibuat susulan pengambilalihan ke atas 53.49 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat pengeluar cerucuk konkrit spun serta tiang pada harga RM103.79 juta.
Berikutan itu, tawaran berkenaan telah diperluas merangkumi baki 46.51 peratus kepentingan yang mewakili 34.71 juta saham belum dimiliki oleh YTL Cement serta pihak dalam tindakan sama.
Dalam kenyataannya, YTL Cement memaklumkan pengambilalihan itu serta tawaran susulan adalah sejajar dengan strategi syarikat untuk mengembangkan segmen pembuatan konkrit pratuang selain memperkukuh integrasi menegak di sepanjang perniagaan simen, batu baur tumpat dan bahan binaan.
“Sektor pembuatan konkrit pratuang ini dijangka berkembang pesat, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap produk konkrit pratuang susulan produktiviti lebih tinggi, penghantaran pantas dan kecekapan pembinaan infrastruktur awam, perumahan kediaman dan bangunan perindustrian, termasuk pusat data,” menurutnya.
YTL Cement juga berhasrat mengekalkan status penyenaraian CEPCO di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Saham CEPCO naik tiga sen kepada RM2.63 pada 10.56 pagi ini dengan sejumlah 42,000 saham saling berpindah tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial