EKONOMI

SC Kaji Semula Undang-undang, Tutup Kelemahan Perundangan, Tingkatkan Kadar Sabitan

22/04/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang mengkaji semula undang-undang sedia ada bagi menutup kelemahan perundangan dan memperkukuh penguatkuasaan, sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan kadar sabitan bagi kesalahan pasaran modal.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata langkah itu mencerminkan usaha lebih luas untuk meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan, bukannya sekadar memulakan pendakwaan.

“Saya (SC) tidak mendakwa berdasarkan khabar angin. Saya (SC) juga tidak mendakwa berasaskan aduan. Saya (SC) mendakwa berasaskan siasatan. Jadi, apabila sesuatu perkara itu agak kompleks, ini mengambil masa yang panjang kerana kami perlu mencari bukti, mengambil kenyataan, menganalisis, dan pada asasnya membina kes bukan sekadar berdasarkan imbangan kebarangkalian malah juga melangkaui sebarang keraguan.

“Ini melibatkan kos yang sangat tinggi, betul? Itulah sebabnya SC mengambil masa untuk membina sesuatu kes,” katanya kepada pemberita pada taklimat Laporan Tahunan SC 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata SC juga sedang memperkukuh Bahagian Penguatkuasaan dengan menggerakkan lebih banyak sumber dan penggunaan teknologi, di samping bekerjasama lebih rapat dengan agensi lain bagi menangani kes yang semakin rumit.

Walaupun tumpuan awam terhadap dakwaan aktiviti “mafia korporat” semakin meningkat namun, penguatkuasaan mesti berpandukan proses sewajarnya dan bukti, katanya.

Mohammad Faiz menegaskan perkara melibatkan intimidasi jenayah atau gangguan berada di luar bidang kuasa SC dan dikendalikan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata SC sebagai pihak kawal selia kekal terikat dengan peruntukan undang-undang yang mengehadkan pendedahan semasa siasatan bagi memelihara integriti kes dan menegakkan prinsip anggapan ketakbersalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan