AM

Solat Hajat Penguat Rohani Petugas TH Semasa Operasi Haji

21/04/2026 04:09 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MADINAH, 21 April (Bernama) -- Dalam kesibukan mengendalikan kebajikan jemaah haji Malaysia, petugas Tabung Haji (TH) melaksanakan solat hajat dan bacaan surah Yasin sebagai sebahagian daripada pengisian rohani dalam memperkukuh semangat dan kesiapsiagaan sepanjang musim haji 1447H/2026M.

Majlis itu yang diadakan di Ibu Pejabat TH di Bangunan Zaha Taiba di sini malam tadi, dihadiri lebih 40 petugas haji TH, menjelang ketibaan ribuan lagi jemaah Malaysia ke kota suci kedua umat Islam.

Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata pengisian rohani itu penting sebagai sumber kekuatan buat petugas dalam melaksanakan amanah menyantuni dhuyufurrahman.

“Selain memohon keberkatan dan kelancaran operasi, majlis ini menjadi ruang mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh kekuatan rohani petugas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah,” katanya.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat berjemaah, diikuti bacaan Yasin yang dipimpin oleh Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah Mohamad Zahir Husin serta tazkirah rohani oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Saiful Nizam.

Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lepas, yang membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadah haji secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan