AM

Sungai Perak Mampu Penuhi Permintaan Sumber Air Pertanian, Domestik - Exco

21/04/2026 03:48 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Purata kadar alir tahunan bagi Sungai Perak dapat memenuhi permintaan sumber air bagi keperluan bekalan pertanian dan domestik, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata maklumat itu berdasarkan hasil dapatan awal kajian penilaian kecukupan sumber air negeri Perak, termasuk Sungai Perak melalui Kajian Perak State Water Resources Assessment.

Bagaimanapun, terdapat beberapa penemuan yang memerlukan langkah mitigasi terutama apabila kadar alir pada bulan tertentu yang lebih rendah berbanding purata bulanan seperti yang berlaku sejak Dis 2025.

"Antara cadangan mitigasi dengan melihat senario yang berlaku sekarang, adalah dengan mengoptimumkan takungan termasuk langkah menggunakan cadangan tambahan takungan pinggiran sungai atau Off River Storage (ORS).  

"Selain itu, pengurusan pelepasan empangan boleh dilihat semula penyelarasan semasa banjir dan luar musim banjir dengan cadangan takungan tambahan," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan DUN Perak, di sini hari ini.

Mohammad Nizar berkata bagi hala tuju seterusnya, kerajaan negeri telah memohon pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapatkan sebanyak mungkin data terkini daripada pelbagai agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menilai senario terkini beserta cadangan-cadangan baharu.

Beliau berkata antaranya seperti takungan tambahan yang boleh diteroka bagi mendapatkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Sumber Air Sungai Perak termasuk kesesuaian cadangan Ampang Jajar Sungai Perak.

"JPS sentiasa memantau rapi isu penurunan paras air Sungai Perak berasaskan data hidrologi dan teknikal semasa. Punca penurunan paras air adalah disebabkan taburan hujan yang berada di bawah purata di utara Semenanjung Malaysia sejak Dis 2025.

"Keadaan ini dipengaruhi oleh peralihan fasa iklim global daripada La Nina kepada kecenderungan pembentukan El Nino, yang mengakibatkan defisit hujan berpanjangan sekurang-kurangnya sehingga suku kedua tahun 2026, berdasarkan unjuran oleh MetMalaysia (Jabatan Meteorologi) dan NAWABS (National Water Balance Management System) Forecast," katanya.

Justeru, beliau berkata tindakan jangka pendek yang dilakukan JPS adalah pelaksanaan pembenihan awan di kawasan tadahan, mengoptimumkan operasi pelepasan empangan secara bersepadu, pemantauan paras air secara masa nyata untuk respons segera dan penguatkuasaan aktiviti perlombongan pasir mengikut garis panduan. 

Bagi tindakan jangka panjang pula adalah melaksanakan kajian kebolehlaksanaan berasaskan data terkini bagi penambahbaikan SOP operasi empangan antara agensi.

Selain itu, pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS atau ORS), kajian impak perlombongan pasir terhadap morfologi sungai, pengukuhan Integrated River Basin Management (IRBM) dan integrasi unjuran perubahan iklim dalam perancangan sumber air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan