IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak bakal menubuhkan dua jawatankuasa khas peringkat negeri untuk melaksanakan pelan mitigasi impak krisis bagi menangani krisis bekalan global, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata dua jawatankuasa khas itu ialah Jawatankuasa Khas Mitigasi Impak Krisis, dan Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis seperti yang dicadangkan menerusi mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, baru-baru ini.
"Peranan khusus kedua-dua jawatankuasa ini akan diperincikan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri pada esok, yang akan disusuli dengan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi dan intervensi secara berfasa.
"Bagaimanapun, langkah-langkah yang diperhalusi akan mengambil kira tindakan intervensi yang sedang dan bakal dilaksanakan pada peringkat Persekutuan bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau ketirisan sumber, di samping memastikan setiap usaha yang digerakkan benar-benar melengkapi dan memperkukuh pendekatan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Saarani berkata fasa awal langkah mitigasi akan menumpukan kepada perkara paling asas, iaitu memastikan keperluan makanan rakyat terus terjamin, khususnya bagi golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup ketika ini.
Beliau berkata fasa-fasa seterusnya juga akan menekankan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah mitigasi terhadap sektor strategik negeri, selain memastikan golongan seperti petani dan usahawan kecil dapat diupayakan sekiranya keadaan krisis tenaga bertambah buruk.
Ikhtiar kerajaan negeri juga tertumpu kepada memastikan bekalan makanan kekal stabil, membantu sektor yang terkesan seperti pengangkutan, pertanian dan perikanan serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global ini.
"Bagi memastikan pelan mitigasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri akan melaksanakan penjajaran semula perbelanjaan bagi tahun 2026, dengan memberikan keutamaan kepada perkara yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat dalam situasi semasa.
"Peruntukan yang kurang kritikal akan diteliti semula, supaya sumber yang ada dapat dimanfaatkan secara lebih optimum bagi menyokong pelaksanaan langkah-langkah intervensi ini," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata sekiranya keadaan memerlukan, kerajaan negeri tidak teragak-agak mempertimbangkan pelaksanaan belanjawan tambahan bagi memperkukuh usaha mitigasi, khususnya dalam melindungi kebajikan rakyat, menyokong sektor yang terjejas, serta memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial