EKONOMI

MTT Shipping Dibuka Tinggi Pada RM1.08 Sen Ketika Mula Disenarai Di Pasaran Utama

21/04/2026 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- MTT Shipping and Logistics Bhd dibuka pada RM1.08 ketika mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini, meningkat lima sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.03.

Syarikat berkenaan berjaya meraih sebanyak RM652.5 juta melalui IPO itu, dengan RM624.7 juta diperuntukkan bagi pembelian sekurang-kurangnya 12 kapal kontena dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan penyenaraian itu.

Menjelang penyenaraiannya itu, IPO MTT Shipping telah terlebih langgan sebanyak 2.7 kali.

Pengarah Urusan Ooi Lean Hin berkata penyenaraian syarikat itu adalah permulaan yang positif, dan menurutnya pergerakan harga pada hari pertama adalah seperti yang dijangkakan.

“Permulaan dagangan ini adalah baik. Turun naik harga adalah perkara biasa bagi syarikat yang baru disenaraikan. Namun, kami tidak memberikan tumpuan kepada pergerakan jangka pendek. Asas syarikat kami kekal kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu hari ini.

Mengenai keutamaan syarikat dalam masa terdekat ini, beliau berkata kumpulan itu akan memfokuskan untuk melaksanakan rancangan pengembangan, khususnya dalam meningkatkan kapasiti kumpulan kapal.

“Kami adalah syarikat yang berkembang pesat, dan dana yang diperoleh sebahagian besarnya adalah untuk menyokong pengembangan.

“Pada masa ini kami mengendalikan sebanyak 25 kapal dengan kumpulan kapal yang masih agak baharu, dan kami bercadang untuk membeli lebih banyak kapal kontena untuk memperluas laluan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran industri, Ooi berkata kenaikan harga minyak akibat konflik Amerika Syarikat-Iran boleh memberikan impak meluas kepada ekonomi global.

Bagaimanapun, menurutnya syarikat itu kekal berdaya tahan.

Beliau berkata walaupun kos bahan api yang tinggi menjejaskan operasi, kumpulan itu boleh memindahkan kenaikan kos itu kepada pelanggan melalui mekanisme pelarasan bunker.

"Pada masa sama, kapasiti di pasaran menjadi lebih terhad yang telah menyebabkan kadar sewaan kapal mendapat sokongan dan harga sewaan meningkat. Beberapa pembaharuan kontrak baru-baru ini mencatatkan peningkatan lebih 10 peratus," katanya.

Menurut Ooi, syarikat itu tidak terdedah secara langsung kepada kawasan yang terjejas dengan konflik dan tidak mengalami sebarang gangguan operasi.

Mengenai prospek syarikat, beliau berkata industri perkapalan dijangka kekal stabil dalam masa terdekat, melainkan sekiranya berlaku ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan harga minyak kekal tinggi.

“Secara keseluruhan, pasaran masih disokong oleh pertumbuhan perdagangan dalam Asia, khususnya antara China, Asia Tenggara dan India, yang didorong oleh penjajaran semula rantaian bekalan yang sedang berlaku,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan