JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Pandu Bas Ekspres Dalam Keadaan Tidak Selamat

20/04/2026 10:00 PM

ALOR GAJAH, 20 April (Bernama) -- Polis menahan seorang pemandu bas ekspres bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan suspek memandu dalam keadaan tidak selamat, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata lelaki berumur 53 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 12.10 tengah hari tadi.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Sehubungan dengan itu, tangkapan terhadap suspek dilakukan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada esok.

Ahmad berkata siasatan awal mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku pada kira-kira 3.50 pagi semasa bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru.

Pada 16 April lepas, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres memandu dalam keadaan tidak selamat serta tidak memberikan tumpuan sepenuhnya semasa mengendalikan kenderaan terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan