KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandunya dihempap sebatang pokok di Jalan Selayang-Kepong menghala ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebatang pokok telah tumbang lalu menghempap sebuah Toyota Hilux. Mangsa (pemandu) seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan selamat dan kejadian tidak melibatkan sebarang struktur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sembilan anggota terlibat dalam operasi itu yang dikawal Komander Operasi PBK I Khairul Azhar Alimulhakim dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Sementara itu, Ahmad Mukhlis berkata satu lagi insiden pokok tumbang dilaporkan di Jalan Prima Selayang 7, berhampiran Apartment Sri Selayang, 4.18 petang tadi.
“Sepasukan anggota dari BBP Selayang yang tiba di lokasi pada 4.25 petang mendapati sebatang pokok tumbang dan menghalang jalan serta melibatkan empat buah kereta yang terkena dahan pokok.
“Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan mangsa dan struktur bangunan,” katanya dan memaklumkan enam anggota terlibat dalam operasi itu yang berjaya dikawal pada 5.43 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial