KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo mengucapkan tahniah kepada K Poonyamitra, 14, yang mencipta nama dalam Malaysian Book of Records baru-baru ini apabila berjaya menghafal dan menyebut semula 300 digit pertama nombor Pi.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata pencapaian hebat itu dikecapi hasil kombinasi ketajaman minda, disiplin yang tinggi serta usaha yang konsisten untuk mencipta kejayaan itu.
“Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kebijaksanaan anak bangsa. Semoga Poonyamitra akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak anak muda di luar sana untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam segala yang mereka kerjakan. Tahniah sekali lagi!” katanya.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George, Pulau Pinang itu mencatat pencapaian berkenaan pada 9 Feb lepas, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Most Pi Recited From Memory By A Teenager.
Selain itu, Poonyamitra juga pernah memenangi kategori Memory Athlete dalam pertandingan Kids Got Talent Malaysia musim kesembilan pada 2025 selepas berjaya menghafal 300 digit pertama Pi dan meraih naib juara dalam acara ASEAN World Records Rising Starz Icon 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial