AM

TH Perluas Program "Cilik-Cilik Dah Celik", Perkasa Literasi Kewangan Keluarga Muda

20/04/2026 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) memperluas pelaksanaan Program “Cilik-Cilik Dah Celik” ke seluruh negara secara berperingkat susulan kejayaan program perintis, selaras dengan usaha memperkasa tahap literasi kewangan masyarakat.

Inisiatif yang dilancarkan pada 4 Okt tahun lepas itu menyasarkan keluarga muda, khususnya yang mempunyai anak di bawah 12 tahun bagi membina asas pengurusan kewangan yang kukuh serta memupuk budaya menabung sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata program itu menekankan peranan keluarga dalam membentuk tabiat kewangan positif dan disiplin menabung sejak usia muda.

“Melalui pendidikan kewangan dalam kalangan keluarga muda, para pendeposit dapat merancang kewangan, terutama simpanan anak-anak dengan lebih tersusun dan beransur-ansur menuju istito’ah, iaitu untuk menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TH yang juga Ahli Bersekutu Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memaklumkan program itu merangkumi enam modul utama selama enam bulan termasuk perancangan kewangan keluarga, pengurusan aliran tunai, simpanan dan pelaburan serta keselamatan kewangan.

Peserta turut didedahkan kepada kaedah pembelajaran yang interaktif seperti bengkel, simulasi, pembelajaran dalam talian dan aktiviti gamifikasi bagi meningkatkan pemahaman serta penglibatan.

Kira-kira 100 keluarga menghadiri majlis graduasi bagi kumpulan perintis program berkenaan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH dalam memperkasa literasi kewangan dan menyokong pembinaan generasi celik kewangan, selaras dengan aspirasi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 serta usaha membantu pendeposit #menujuistitoah,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan