KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Perdagangan Malaysia berada di trajektori pengembangan pada suku pertama 2026, berkembang 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2025, meskipun berdepan ketidaktentuan global berterusan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian itu memklumkan eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, mencatatkan nilai suku tahunan kedua tertinggi yang pernah direkodkan, manakala import meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion.
"Ini merupakan nilai suku pertama tertinggi yang pernah direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import," menurut MITI dalam satu kenyataan hari ini berhubung Prestasi Perdagangan Bagi Tempoh Januari-Mac, 2026 Dan Mac 2026.
Menurutnya, pengembangan eksport dalam suku tahun itu didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih kukuh bagi barangan perkilangan, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E) serta peralatan optik dan saintifik, di samping barangan perlombongan, terutamanya bijih logam dan sekerap logam.
Produk E&E terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan eksport, dengan peningkatan melebihi RM40 bilion, disokong oleh permintaan global yang mampan dan penggunaan teknologi yang berterusan dalam kalangan pasaran utama.
Ketiga-tiga produk ini merekodkan nilai eksport suku tahunan yang tertinggi setakat ini.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu China, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada suku pertama 2026, manakala eksport ke ASEAN berkembang dengan lebih sederhana.
"Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, dengan eksport yang lebih tinggi direkodkan ke pasaran seperti Hong Kong, Mexico, Korea Selatan, India dan United Kingdom.
"Eksport ke AS, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan merekodkan nilai suku tahunan tertinggi setakat ini," tambah MITI.
Bagi Mac 2026, perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan, berkembang 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM272.95 bilion, disokong oleh pertumbuhan kedua-dua eksport dan import.
Eksport meningkat 8.3 peratus kepada RM148.75 bilion, nilai bulanan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 10.4 peratus kepada RM124.20 bilion.
Ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM24.55 bilion, merupakan lebihan yang ke-71 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi Mac.
"Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan global serta memberi tekanan ke atas kos logistik dan kecekapan rantaian bekalan," menurut MITI.
Di sebalik perkembangan ini, ia menyatakan prospek luaran kekal bercampur-campur, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan jumlah dagangan barangan global berkembang kepada kadar sederhana 1.9 peratus pada 2026.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 8.6 peratus, manakala import dijangka meningkat 9.0 peratus, mencerminkan permintaan domestik dan luaran yang lebih kukuh.
Dalam perkembangan lain, integrasi kukuh Malaysia dalam perdagangan global turut dizahirkan melalui peningkatan dalam kedudukan WTO 2025, dengan eksport naik dari tempat ke-25 kepada ke-23 dunia, perdagangan dari tempat ke-24 kepada ke-23, dan import dari tempat ke-25 kepada ke-24.
Meskipun pencapaian ini mencerminkan daya tahan serta penglibatan mendalam Malaysia dalam rantaian bekalan global, tetapi prospek masih kekal terdedah kepada risiko luaran.
Tahap kewaspadaan yang berterusan adalah penting memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan ini berpotensi menjejaskan permintaan global serta mengganggu dinamik rantaian bekalan.
"MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus memantau rapat perkembangan global, manakala pengeksport digalakkan memanfaatkan FTA sedia ada, meneroka pasaran baharu dan mempelbagaikan penawaran barangan bagi memperkukuh daya tahan dalam persekitaran yang mencabar ini,'’ tambah MITI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial