SUKAN

Muhammad Ridwan Sah Tidak Sertai Piala Dunia 2026, Alami Kecederaan Bahu

20/04/2026 04:29 PM

NILAI, 20 April (Bernama) -- Pelumba negara Muhammad Ridwan Sahrom tidak akan menyertai kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 susulan mengalami kecederaan bahu yang serius.

Perkara berkenaan disahkan Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan John Beasley hari ini.

Beliau berkata pelumba berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan pada sendi acromioclavicular (AC) selepas terlibat dalam kemalangan acara keirin, dengan penilaian awal menunjukkan kecederaan tahap tiga hingga empat yang berkemungkinan memerlukan pembedahan.

“Penilaian menunjukkan kecederaan ini agak serius dan beliau mungkin memerlukan pembedahan, namun kami akan menunggu penilaian lanjut daripada doktor di Institut Sukan Negara hari ini.

“Ia juga akan mengambil tempoh pemulihan yang panjang untuk mendapatkan semula kekuatan penuh, namun ia tidak seteruk kecederaan lutut dialami Muhammad Shah Firdaus Sahrom sebelum ini,” katanya pada sidang media kejohanan di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Justeru, Beasley berkata barisan kejurulatihan akan menilai semula senarai pelumba acara pecut, termasuk menjalankan beberapa ujian minggu ini bagi menentukan kombinasi terbaik.

“Kami akan meneliti semua kemungkinan termasuk melakukan rombakan posisi dalam pasukan. Ia merupakan satu kompromi, namun kami perlu membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Mengulas kesan ketiadaan Muhammad Ridwan dan Muhammad Shah Firdaus, beliau mengakui skuad pecut negara agak terjejas, namun menegaskan keutamaan kini adalah memastikan pelumba terbabit pulih sepenuhnya menjelang Sukan Asia pada September depan.

Muhammad Ridwan mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan acara keirin pada siri Piala Dunia Trek di Hong Kong, Sabtu lepas.

Pelumba muda negara, Adib Andhar Adnan dijangka antara nama yang dipertimbangkan bagi menggantikan tempat Muhammad Ridwan dalam kejohanan kali ini.

Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai pada 24 hingga 26 April ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan