EKONOMI

FMM, Hong Kong Productivity Council Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Industri

20/04/2026 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Hong Kong Productivity Council (HKPC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama industri serta meningkatkan produktiviti dalam kalangan pengilang di kedua-dua ekonomi.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Malaysia dan Hong Kong telah lama menikmati hubungan perniagaan yang kukuh dan berterusan sejak beberapa dekad lalu, dan kerjasama ini dijangka terus diperkasakan.

“Pada hari ini, hubungan kita memasuki fasa baharu. Selain perdagangan, kita menyaksikan kerjasama lebih mendalam melalui usaha sama, pengaturan teknikal serta perkongsian pelaburan dalam pembangunan keupayaan,” katanya pada Forum Perkongsian Industri Malaysia-Hong Kong di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu dilaksanakan ketika Malaysia giat mempertingkat kedudukan sektor pembuatan dalam rantaian nilai menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“NIMP 2030 bukan sekadar dokumen aspirasi, sebaliknya pelan pelaksanaan menyeluruh dengan sasaran khusus sektor, ambang pelaburan serta mekanisme akauntabiliti.

“Antara sasaran utama ialah membangunkan 1,000 syarikat pembuatan pintar menjelang 2030. Ketika ini, kita telah mencapai kira-kira 300 syarikat dan sedang berusaha merealisasikan baki 700 dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sim berkata HKPC mempunyai kepakaran bernilai dalam kejuruteraan industri, sistem produktiviti dan pembuatan pintar yang dapat melengkapi serta memperkukuh usaha domestik.

“Pada masa sama, kerjasama ini turut menawarkan kelebihan signifikan kepada industri Hong Kong kerana Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil, infrastruktur kukuh serta tenaga kerja mahir, selain dasar berkecuali yang membolehkan pelabur berinteraksi secara bebas dengan pasaran global,” katanya.

Beliau berkata dengan akses kepada 17 perjanjian perdagangan bebas termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Malaysia berperanan sebagai pintu masuk strategik kepada perniagaan Hong Kong untuk menembusi ekonomi paling dinamik di dunia.

Sim berkata gangguan terkini terhadap laluan perkapalan global telah meningkatkan kos input, surcaj insurans serta ketidaktentuan bekalan kepada pengilang tempatan.

Beliau berkata cabaran tersebut tidak dapat ditangani oleh syarikat secara individu, sebaliknya memerlukan pendekatan kepelbagaian di peringkat dasar dan perniagaan.

“Pengilang Malaysia dan Hong Kong berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan saling melengkapi dalam perubahan ini. Syarikat Malaysia yang memerlukan pembiayaan, penyelesaian logistik serta akses pasaran alternatif boleh memanfaatkan kekuatan Hong Kong sebagai hab global, dan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata kerjasama berkenaan bertujuan membantu pengilang Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan industri serta kekal berdaya saing.

“MoU ini hanyalah permulaan, dengan pelan hala tuju merangkumi latihan teknikal bersama, bengkel, lawatan teknologi serta projek perintis bagi memberi pendedahan secara langsung kepada ahli terhadap inovasi pembuatan terkini.

“Kami membayangkan masa depan di mana syarikat Malaysia dan Hong Kong bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menguji teknologi baharu serta bersama-sama menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran baharu,” katanya.

Ditubuhkan pada 1967, HKPC merupakan antara institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) terbesar di Hong Kong yang memberi tumpuan kepada produktiviti dan inovasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan