PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Pelaksanaan Kembara Justice on Wheels (JoW) dilihat tepat pada masanya dalam mendepani cabaran semasa, sekali gus memperkukuh akses rakyat kepada keadilan berteraskan prinsip Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu bertujuan membantu Jabatan Bantuan Guaman (JBG) peringkat negeri untuk memperbanyak perkhidmatan secara terus kepada masyarakat, khususnya bagi komuniti luar bandar, pedalaman dan golongan berpendapatan rendah.
"Yang lebih penting ialah 'access to justice' diletakkan sebagai satu daripada elemen Kerajaan MADANI, iaitu Ihsan.
"Dengan cabaran yang berlaku pada dunia (ketika ini), kerajaan MADANI prihatin (buat) persediaan tahun 2025, tahun 2026 ni kita implementasi dengan menganggarkan bahawa cabaran pada rakyat lebih besar," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini hari ini.
Kembara JoW ialah inisiatif strategik berbentuk perkhidmatan melalui van bergerak yang diaspirasikan oleh Azalina, bermatlamat menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman secara terus kepada komuniti, termasuk di kawasan luar bandar melalui kenderaan yang diubah suai sebagai pejabat mini.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk nasihat guaman secara percuma, permohonan bantuan guaman serta program pendidikan dan kesedaran undang-undang.
Azalina berkata pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kehadiran fizikal di pejabat kerajaan untuk mendapatkan bantuan guaman.
Memperincikan perkhidmatan itu, beliau berkata pelaksanaan JoW boleh diperluas mengikut kesesuaian, termasuk beroperasi di luar waktu pejabat atau pada hari cuti serta ke peringkat daerah dengan penglibatan wakil rakyat.
"Saya kalau boleh nak minta mereka gerak di semua kawasan Parlimen sebagai permulaan (sebelum diperluas ke peringkat daerah). Tak kisahlah parlimen pembangkang ke parlimen kerajaan, yang penting kita beri khidmat guaman," katanya yang juga Ahli Parlimen Pengerang.
Beliau berkata langkah itu diyakini dapat memperbanyak capaian perkhidmatan guaman, khususnya di luar bandar, selaras komitmen kerajaan untuk memastikan akses kepada keadilan lebih inklusif dan menyeluruh.
Pelancaran 11 van baharu Kembara JoW memberikan keyakinan kepada JBG bahawa liputan program itu dapat diperluas secara lebih efektif ke seluruh negara, selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk membina sistem keadilan yang inklusif, responsif dan berjiwa rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial