EKONOMI

Gentari Tingkat Usaha Capai Sasaran Kapasiti Tenaga Boleh Baharu 30-40 GW Menjelang 2030

20/04/2026 05:50 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Gentari, syarikat tenaga bersih global sedang memperkukuh usahanya mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 30 hingga 40 gigawatt (GW) menjelang 2030, disokong oleh pertumbuhan pesat tetapi bergantung kepada kesediaan pasaran dan pulangan hasil.

Ketua Pegawai Strategi dan Portfolio Gentari M Huzaini Ghazali berkata syarikat itu kekal komited terhadap sasaran berkenaan, walaupun penyampaiannya akan bergantung kepada keupayaan untuk melaksana dan keadaan luaran.

“Kami masih berusaha. Saya tidak boleh menjamin sepenuhnya, tetapi saya juga tidak akan mengatakan yang kami terlalu jauh daripada sasaran,” katanya kepada Bernama.

Huzaini berkata kapasiti Gentari telah berkembang daripada kira-kira 0.4 GW kepada 9.1 GW setakat ini, merangkumi kedua-dua kapasiti yang telah siap dipasang dan yang sedang dalam pembinaan.

Beliau menekankan bahawa trajektori pertumbuhan itu menunjukkan keupayaan Gentari untuk berkembang, namun mengingatkan pencapaian sasaran penuh juga akan bergantung kepada sama ada pasaran mampu memberikan pulangan yang diperlukan bagi mewajarkan penggunaan modal yang berterusan.

“Sama ada kita mencapainya atau tidak, ia bukan sahaja bergantung kepada keupayaan berterusan kami untuk berbuat demikian. Ia juga ditentukan oleh ketersediaan pasaran dari segi memberikan pulangan yang kami perlukan,” kata Huzaini.

Momentum pertumbuhan Gentari disokong oleh penambahbaikan dasar dan keadaan pasaran, terutamanya apabila kerajaan dan korporat mempercepatkan peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih di tengah-tengah kenaikan kos bahan api konvensional.

“Bagi negara seperti Malaysia, kini wujud dorongan untuk kita mempercepatkan pertumbuhan dalam tenaga bersih, baik daripada perspektif kerajaan dan dasar mahupun cita-cita sesebuah negara,” katanya.

Huzaini berkata kenaikan harga tenaga berasaskan hidrokarbon mendorong syarikat-syarikat korporat menilai semula strategi sumber tenaga mereka, dengan tenaga boleh baharu menawarkan kepastian kos jangka panjang berikutan perbelanjaan modal pendahuluan yang tinggi dan kos operasi yang agak rendah, sekali gus membolehkan keterlihatan harga bagi tempoh yang panjang.

Walaupun Gentari terus menilai peluang penggabungan dan pengambilalihan, perkara tersebut tidak akan dilakukan semata-mata untuk meningkatkan kapasiti, dengan keutamaan diberikan kepada pulangan hasil dan kesesuaian portfolio.

Syarikat itu kini beroperasi di Malaysia, India, Australia dan Taiwan, dengan sebahagian besar kapasiti yang telah siap dipasang terletak di India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan