JENAYAH & MAHKAMAH

200 Rumah Atas Air Musnah Terbakar Di Sandakan

19/04/2026 10:34 AM

SANDAKAN, 19 April (Bernama) -- Kira-kira 200 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.

“Bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera.

“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata 35 anggota bomba termasuk daripada BBP Sandakan dan Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan Datuk Walter Kenson yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengisytiharkan bencana kebakaran susulan kejadian itu.

Beliau berkata sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

“Pemeriksaan di kampung itu mendapati kediaman penduduk terjejas tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, angka tidak rasmi menunjukkan mereka yang didaftarkan di PPS itu setakat ini ialah 445 orang terdiri daripada 89 keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan