JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki, Wanita Warga Asing Ditahan Selepas Rempuh Kereta Ketika Lari Pemeriksaan Polis

02/05/2026 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing ditahan, selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah kenderaan lain, ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pemeriksaan terhadap kenderaan suspek itu, turut menemukan 17 paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah seberat kira-kira 16 gram.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 9.08 malam, mengenai kejadian sebuah kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Proton Preve di Lebuhraya Lembah Klang Baharu, berhampiran susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke arah Shah Alam, selepas kenderaan itu cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

“Dalam insiden itu, suspek lelaki berusia 45 tahun telah memandu secara berbahaya sehingga memasuki persimpangan Subang Jaya dan merempuh sebuah kereta jenis BMW warna hitam di persimpangan lampu isyarat Persiaran Tujuan, Subang Jaya, sebelum berjaya ditahan pihak polis di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsudin berkata suspek lelaki mempunyai 21 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek lelaki positif Methamphetamine dan kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga Isnin (4 Mei),” katanya.

Shamsudin berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 39A(1) akta yang sama dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan