Oleh Ammar Shafiq Hamzah
KUCHING, 16 April (Bernama) -- Pelaksanaan projek kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen di Sarawak dilihat sebagai langkah strategik dalam mendepani krisis tenaga global yang semakin mencabar.
Ahli akademik Profesor Datuk Dr Jayum Jawan yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata projek yang kini dalam fasa pembinaan di Kuching itu meneroka tenaga alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil konvensional.
Walaupun projek itu berdepan kritikan sebelum ini, beliau berkata krisis tenaga global ketika ini telah membuka mata banyak pihak tentang kepentingan sumber tenaga mampan dan mesra alam.
“Projek ART ini ialah satu langkah proaktif yang diperlukan dalam menangani cabaran tenaga global yang kian meruncing, dan ia juga menunjukkan satu kepimpinan yang melihat ke hadapan.
“Kebergantungan pada satu jenis tenaga sahaja ialah satu risiko, terutamanya apabila berhadapan dengan situasi krisis dan permintaan yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.
ART adalah komponen utama Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dengan agenda membina sistem pengangkutan awam terbaik selain mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar.
Fasa 1 projek KUTS melibatkan ART dengan jarak keseluruhan dianggarkan 69.9 kilometer membabitkan tiga laluan dan 28 stesen.
Jayum berkata pelaksanaan projek ART bukan sahaja memberikan impak kepada sektor pengangkutan awam, malah berpotensi besar merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Projek ini semestinya ada impak berganda termasuk dari segi ekonomi serta dapat melahirkan tenaga pakar dalam kalangan anak Sarawak dalam bidang hidrogen.
“Sekiranya Sarawak berjaya dalam pembangunan ART menggunakan tenaga baharu ini, saya yakin ia mampu menjadi rujukan dan model kepada negeri atau negara serantau,” katanya.
Semalam, Sarawak Metro yang merupakan pelaksana projek KUTS memaklumkan dua unit pertama kenderaan ART itu telah berjaya melepasi ujian yang ditetapkan di China, dan kini bersedia untuk dihantar ke Kuching.
Dua unit awal kenderaan ART yang dikenali sebagai ‘tren emas’ itu dijangka tiba di Kuching pada suku kedua tahun ini, dan operasi perintis akan bermula pada suku keempat 2026.
Dunia kini berdepan krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan serta kestabilan pasaran minyak dan gas antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial