AM

Selangor Lancar Garis Panduan Pusat Jagaan, Taska Tambah Baik Urusan Pendaftaran

16/04/2026 06:57 PM

SHAH ALAM, 16 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Garis Panduan Pusat Jagaan dan Taman Asuhan Warga Emas, Kanak-Kanak dan Orang Kurang Upaya Selangor hari ini, sebagai langkah strategik menambah baik tadbir urus dan proses pendaftaran pusat jagaan di seluruh negeri. 

Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP) Michelle Ng Mei Sze berkata garis panduan itu dihasilkan untuk menjadi dokumen rujukan menyeluruh kepada pengusaha pusat jagaan dan taman asuhan meliputi antaranya piawaian keselamatan, keperluan ruang fizikal, kelayakan pengendali serta pengurusan risiko.

“Selaras dengan aspirasi Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030, garis panduan ini memperkenalkan pendekatan ‘one door policy’ (dasar satu pintu) bagi memudah cara proses pendaftaran, mengurangkan kekangan birokrasi dan mempercepat pematuhan kepada keperluan undang-undang. 

“Pendekatan ini dijangka meningkatkan kadar pendaftaran pusat jagaan yang sah, memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti serta mengukuhkan keyakinan keluarga terhadap pusat jagaan berdaftar,” katanya pada sidang media pelancaran garis panduan itu di sini hari ini.

Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya berkata garis panduan yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 27 Feb lepas dijangka dikuatkuasakan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan akan datang.  

Beliau berkata pelancaran berkenaan menandakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membina ekosistem penjagaan yang lebih inklusif, mudah diakses dan selamat, di samping memudahkan pengusaha pusat jagaan berdaftar secara sah dengan pihak berwajib. 

“Dalam konteks negeri yang semakin menua, garis panduan ini merupakan pelaburan sosial penting untuk menjayakan agenda Selangor yang berdaya huni, memastikan tiada siapa tercicir daripada akses kepada penjagaan yang selamat, bermaruah dan berkualiti. 

“Kerajaan negeri turut menyeru pengusaha pusat jagaan dan taman asuhan yang masih belum berdaftar agar mengambil peluang ini untuk tampil berdaftar secara sah, demi memastikan kebajikan penghuni terpelihara dan ekosistem penjagaan negeri terus berkembang secara selamat serta berkualiti,” katanya.

Ng berkata berkata setakat 31 Mac lepas, sebanyak 176 taska dan pusat jagaan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas yang dikenal pasti tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor manakala sebanyak 1,785 (taska dan pusat jagaan) berdaftar.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan