AM

KPT Dapatkan Maklumat Lanjut Daripada UM Mengenai Adegan Teater

16/04/2026 01:55 PM

CYBERJAYA, 16 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Universiti Malaya (UM) berhubung isu adegan kurang sopan dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Tadi saya tengok ada dalam media sosial (laporan mengenai isu itu). Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada pihak UM,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital University of Cyberjaya (UoC) di sini hari ini.

Satu persembahan teater didakwa berlaku di UM menjadi tular apabila ia memaparkan adegan kurang sopan dan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menyatakan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan ditetapkan.

Menurut UM, hasil penelitian mendapati adegan dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan ditetapkan.

Berdasarkan syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) UM, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya dan nama baik universiti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan