KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou berada di landasan tepat untuk mengesahkan slot ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dalam acara perseorangan berdasarkan kedudukan ranking semasa.
Pemain nombor satu dunia itu berkata beliau yakin telah memenuhi kriteria kelayakan dengan tempoh kelayakan dijangka berakhir pada Julai ini.
Namun, situasi berbeza melibatkan acara beregu lelaki SU5 apabila pasangannya Mohamad Faris Ahmad Azri masih perlu mengumpul mata kelayakan bagi melayakkan diri ke temasya berkenaan pada Oktober ini.
“Bagi saya, memang saya rasa sudah layak sebab sekarang saya berada di ranking pertama dunia. Jadi rasanya saya tidak ada masalah.
“Untuk pasangan saya dalam acara beregu, dia belum lagi layak dan perlu memenangi beberapa pusingan dalam kejohanan antarabangsa selepas ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Liek Hou berkata Mohamad Faris perlu memperbaiki prestasi dalam dua kejohanan antarabangsa di Perancis dan Ireland bagi meningkatkan kedudukan dunia.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu berkata sekiranya pasangannya gagal melayakkan diri, beliau berkemungkinan memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara perseorangan SU5.
Sementara itu, beliau memaklumkan gandingan kategori kerusi roda, Muhammad Ikhwan Ramli dan Noor Azwan Noorlan, dilihat berada di landasan terbaik untuk turut beraksi di temasya berkenaan.
Menyentuh mengenai sasaran, Liek Hou bertekad untuk merampas semula pingat emas acara perseorangan SU5 yang pernah dimenanginya pada edisi 2014 di Korea Selatan.
“Sasaran saya ialah merampas semula pingat emas dalam acara perseorangan. Dari segi persediaan itu sangat penting untuk meningkatkan tahap kondisi saya. Sekarang ada beberapa perkara perlu diperbaiki untuk pastikan prestasi saya konsisten,” katanya.
Kali terakhir Liek Hou merangkul pingat emas pada Sukan Para Asia adalah pada edisi 2014 dalam acara perseorangan dan beregu di Incheon, Korea Selatan.
Sukan Para Asia 2026 dijadual berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun pada 18 hingga 24 Okt dengan badminton para kekal sebagai antara acara yang dijangka menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial