AM

MPC, MPI Lancar Anugerah Media ADI 2026 Dengan Tiga Kategori Utama

15/04/2026 04:17 PM

PETALING JAYA, 15 April (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini melancarkan Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) 2026 sebagai inisiatif strategik bagi mengiktiraf peranan media dalam menyokong agenda produktiviti dan pembangunan modal insan negara.

Timbalan Ketua Pengarah MPC Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata anugerah yang dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Press Institute (MPI) itu, bertujuan menghargai sumbangan pengamal media dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap ADI dengan menekankan isu produktiviti, inovasi serta pembangunan bakat.

“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan media dalam menghasilkan karya berimpak tinggi, tetapi juga menggalakkan penyampaian dan pelaporan yang jelas, tepat serta berasaskan data,” katanya dalam ucapan pelancaran Anugerah Media ADI 2026, di sini.

Beliau berkata pelantikan MPI sebagai sekretariat adalah selaras dengan kepakaran institusi itu dalam pembangunan profesional kewartawanan, pengurusan anugerah media, serta jaringan luas bersama organisasi media di seluruh negara.

“Peranan MPI bukan sahaja tertumpu kepada aspek penyelarasan dan pengurusan pertandingan, malah turut melibatkan pemantauan proses penilaian, penglibatan panel juri serta memastikan standard kewartawanan yang tinggi dipatuhi sepanjang penganjuran anugerah ini,” katanya.

Menurut MPC, Anugerah Media ADI merangkumi tiga kategori, iaitu Media Cetak/Portal Berita, Media TV/Radio/Portal (Video Dalam Talian) serta Media Sosial (Video Pendek), dan semua organisasi media digalakkan untuk menghantar penyertaan bermula hari ini hingga tarikh tutup pada 2 Ogos.

“Pengumuman pemenang akan dibuat pada 23 Sept dalam satu majlis khas anjuran MPC. Maklumat lengkap mengenai syarat, garis panduan serta borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.adi.gov.my,” menurut MPC.

ADI ialah satu inisiatif nasional yang memberikan fokus kepada pembangunan bakat berasaskan industri melalui pendekatan latihan di tempat kerja, pensijilan kemahiran dan laluan akademik bersepadu.

Dalam majlis berkenaan, perbadanan itu turut memperkenalkan inisiatif baharu, iaitu Diploma Profesional Kewartawanan MPI-MPC di bawah kerangka ADI, bagi memperkasakan pengamal media dengan kemahiran baharu selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri tanpa mengabaikan prinsip asas kewartawanan.

Platform itu menawarkan dua program kemahiran selama enam bulan, merangkumi Professional Diploma in Artificial Intelligence (AI) Journalism, yang memberikan fokus kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan berita, dan Professional Diploma in Cybersecurity Journalism sebagai latihan keselamatan siber bagi membantu wartawan melindungi sumber dan maklumat berita.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail berkata tumpuan program adalah untuk memahirkan wartawan dalam memahami dan menggunakan AI secara lebih menyeluruh seperti terjemahan maklumat, analisis data, pengesanan berita palsu serta kawalan terhadap deepfake.

Beliau berkata penekanan turut diberikan kepada aspek etika dalam penggunaan AI serta keselamatan siber, termasuk isu penyalahgunaan kandungan media oleh pihak tidak bertanggungjawab dan perlindungan data serta privasi organisasi media.

“Kita juga bekerjasama dengan London Examinations Board serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space untuk pensijilan antarabangsa,” katanya sambil menambah program itu dijangka bermula Julai tahun ini dengan sasaran 40 peserta pertama.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.mpc.gov.my atau www.adi.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan