SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah rumah di Labu di sini, pada 3 April.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata permohonan reman terhadap lelaki berusia 31 tahun yang juga bapa kepada bayi tersebut, dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah Jenayah hari ini.
“Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan tujuan melupuskan mayat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya susulan laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar, yang memaklumkan seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun mendapatkan rawatan akibat pendarahan serta komplikasi kesihatan di hospital itu pada 9.53 pagi semalam.
Johari berkata maklumat awal mendapati wanita itu dipercayai melahirkan anak kembar di rumah tanpa bantuan perubatan dan seorang daripada bayinya dilaporkan meninggal dunia selepas dilahirkan, sebelum mayatnya ditanam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial