AM

Fasa Pertama Gudang Kargo Udara PILA Dijangka Siap 2029

14/04/2026 11:40 AM

GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Pulau Pinang kini melaksanakan kerja-kerja tanah dan rawatan tanah bagi projek Penang International Logistics Aeropark (PILA), dengan fasa pertama gudang kargo udara bertaraf Zon Komersial Bebas dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kelulusan Pelan Induk Kebenaran Merancang bagi projek berkenaan telah diperoleh, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan.

“Secara keseluruhan, PILA berupaya menampung kapasiti kargo hingga 500,000 tan setahun menjelang 2050, dengan penyediaan ruang gudang melebihi dua juta kaki persegi.

“Bagi fasa pertama, gudang kargo udara yang dibangunkan dijangka menyokong kapasiti tambahan hingga 100,000 tan setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PILA ialah projek usaha sama strategik antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk membangunkan terminal kargo baharu, sekali gus mengukuhkan ekosistem logistik di Wilayah Utara serta menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri.

Chow berkata kerjasama strategik itu penting dalam memenuhi keperluan logistik industri semikonduktor serta Elektrik dan Elektronik (E&E) pada masa hadapan, sejajar dengan aspirasi Visi Penang2030, Rancangan Struktur Negeri 2030 serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata majlis pelancaran PILA yang telah menerima komitmen penyewaan daripada syarikat logistik antarabangsa dan tempatan kini giat dirancang dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan