EKONOMI

PMKS #JomLokal, Jenama Mall Catat Lebih 130 Peratus Pertumbuhan Jualan Di Tiktok Shop

10/04/2026 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri yang lalu, jualan produk buatan Malaysia oleh PMKS #JomLokal serta jenama-jenama Mall asli di TikTok Shop telah mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun melebihi 130 peratus.

Menurut platform e-dagang itu, momentum pertumbuhan jualan yang kukuh dan inklusif tersebut didorong oleh sokongan bernilai RM20 juta menerusi pakej rangsangan #JomLokal Booster oleh TikTok Shop dan pelaburan berterusan bagi menjamin pengalaman membeli-belah yang selamat.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata peningkatan jualan bagi jenama premium di platform berkenaan mencerminkan keyakinan dan kepercayaan pengguna yang meningkat.

“Keselamatan adalah keutamaan kami, dan TikTok Shop telah melaburkan hampir US$1 bilion di peringkat global dalam alat, teknologi dan tenaga kerja bagi melindungi komuniti pembeli, penjual serta pencipta afiliasi kami,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah TikTok Shop Raikan Raya baru-baru ini.

Menurut TikTok Shop, platform itu telah menolak lebih 70 juta percubaan penyenaraian produk di seluruh dunia antara Januari dan Jun 2025, mewakili kadar penyingkiran proaktif melebihi 99.5 peratus bagi produk yang melanggar dasar TikTok Shop yang menyeluruh.

Platform tersebut juga menolak 1.4 juta permohonan pendaftaran akaun penjual di peringkat global yang tidak memenuhi piawaian ketatnya. 

TikTok Shop turut memperkukuh usaha keselamatan dengan inisiatif pencegahan penipuan #ShopSafe bagi mendidik rakyat Malaysia tentang amalan terbaik ketika membeli-belah dalam talian.

Dalam masa yang sama, Nur Azre berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan tidak ketinggalan. Mereka mampu ditemui serta membina komuniti melalui TikTok Shop.

”Kami komited untuk terus mengetengahkan produk buatan Malaysia dan memperkasakan usahawan tempatan melalui #JomLokal bagi memacu pertumbuhan ekonomi inklusif serta penyertaan digital PMKS tempatan,” katanya.

Sejak dilancarkan pada September 2025, Pakej Rangsangan #JomLokal Booster TikTok Shop telah membiayai pengecualian yuran komisen bagi lebih 5,000 PMKS tempatan.

Sokongan #JomLokal Booster turut merangkumi penganjuran 14 bengkel meningkatkan kemahiran penjual baharu, selain menyokong pemadanan perniagaan dengan lebih 1,000 pencipta afiliasi untuk mempromosikan produk #JomLokal buatan Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching baru-baru ini merasmikan majlis anugerah pada acara TikTok Shop Raikan Raya, yang mengiktiraf penjual tempatan dan pencipta afiliasi terbaik di TikTok Shop sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri yang lalu.

Usahawan, PMKS dan jenama tempatan yang berminat boleh mendaftar di pusat penjual TikTok Shop serta meneroka tutorial langkah demi langkah melalui Akademi TikTok Shop.

Maklumat lanjut mengenai #JomLokal oleh TikTok Shop boleh dilayari di https://vt.tiktok.com/ZS98HYbm4S1EQ-yyI3n/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan