Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Ringgit mengukuh ke paras 3.99 berbanding dolar AS, disokong sentimen pasaran yang bertambah baik selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan penangguhan tindakan ketenteraan selama dua minggu terhadap Iran susulan rundingan dengan pemimpin Pakistan.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat 0.67 peratus kepada 3.9975/4.0050 berbanding dolar AS, daripada paras 4.0275/0320 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Trump bersetuju dengan gencatan sementara selama dua minggu, yang disifatkannya sebagai “gencatan dua hala”.
“Keadaan ini mungkin memberi sedikit kelegaan sementara kepada sentimen pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang meningkat susulan kejutan daripada konflik di Iran,” katanya kepada Bernama.
Ketika ini, harga minyak mentah Brent susut 15.70 peratus kepada US$92.12 setong, manakala Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.35 peratus kepada 99.635 mata.
Pada pembukaan, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5187/5238 daripada 2.5229/5258 ketika ditutup pada Selasa. Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 4.6719/6806 daripada 4.6566/6618, serta turun berbanding pound Britain kepada 5.3570/3671 daripada 5.3425/3484.
Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1331/1392 daripada 3.1381/1419, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 233.6/234.2 daripada 235.4/235.8, serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.64 daripada 6.68/6.69 sebelumnya.
Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.4572/4879 daripada 12.3809/4021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial