PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan tenaga global dijangka berlarutan walaupun gencatan senjata sementara selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) telah dipersetujui, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata walaupun perdamaian sementara telah dicapai, kerosakan terhadap ekosistem dan prasarana tenaga di negara Asia Barat memerlukan tempoh masa yang panjang untuk dipulihkan sepenuhnya.
Beliau berkata Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dimaklumkan bahawa kerja pembaikan infrastruktur kritikal seperti tangki penyimpanan, saluran paip gas dan minyak mentah serta fasiliti pemprosesan petroleum mungkin mengambil masa antara beberapa bulan hingga beberapa tahun.
"Sudah pasti yang paling penting adalah bagi rakyat Malaysia untuk memahami bahawa akhirnya walaupun pada waktu ini perdamaian sementara telah dikecapi, namun kesan konflik tersebut terus kita rasai akibat daripada kerosakan kepada ekosistem dan prasarana tenaga di negara-negara Teluk," katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Menurut beliau, situasi di Selat Hormuz turut memberi kesan kepada rantaian bekalan global apabila kira-kira 2,000 kapal dilaporkan masih terperangkap di laluan strategik itu, berbanding kebiasaan lebih 200 kapal keluar masuk setiap hari sebelum konflik tercetus.
Fahmi berkata pergerakan kapal tangki membawa bahan bakar memerlukan masa lama kerana faktor keselamatan dan saiz yang besar, sekali gus menjejaskan kelancaran penghantaran bekalan tenaga ke pasaran global.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan isu bekalan dalam negara dapat ditangani secara berkesan bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
"Pergerakan kapal di selat dan juga di lautan terbuka mengambil masa yang agak lama. Ia tidak laju, kenderaan yang agak besar yang mengangkut bahan bakar yang terlalu mudah terbakar, maka akan makan masa.
“Jadi kita jangkakan bagi rakyat Malaysia, yang paling penting kita dapat atasi isu-isu bekalan dan ini masih menjadi keutamaan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini menyambut baik perkembangan terkini konflik antara AS dan Iran, susulan cadangan 10 perkara yang dikemukakan Iran dan diterima baik oleh AS.
Anwar berkata cadangan berkenaan memberikan harapan positif bagi pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di Asia Barat tetapi juga peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial