SERDANG, 7 April (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui penggunaan teknologi moden serta penglibatan generasi muda bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian.
Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kebergantungan negara kepada makanan import serta ketidaktentuan geopolitik global menunjukkan kepentingan negara memiliki keupayaan sendiri dalam pengeluaran makanan bagi menjamin bekalan yang stabil.
Beliau berkata penggunaan teknologi dalam sektor pertanian merupakan antara strategi utama universiti itu untuk meningkatkan hasil pengeluaran, mempercepat proses penghasilan serta menurunkan kos operasi.
"Kita tahu profil petani di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada golongan berumur. Jadi satu daripada strategi kita ialah menggunakan teknologi melalui tenaga muda dengan harapan siswazah UPM dapat mengubah senario profil petani-petani di Malaysia.
"Tanpa teknologi, kita tidak akan dapat menurunkan kos dan juga tidak akan dapat meningkatkan hasil serta kualiti. Jadi itu antara strategi yang kita gunakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 di sini malam ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Ahmad Farhan berkata UPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menangani isu keselamatan bekalan serta memperhebat pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Selain itu, katanya universiti berkenaan turut menawarkan ruang latihan kepada petani luar bagi meningkatkan kemahiran dan kapasiti mereka melalui perkongsian kepakaran serta aplikasi teknologi baharu dalam sektor pertanian.
Beliau berkata usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda strategik UPM dalam membantu negara menghadapi cabaran ekonomi dan memastikan keterjaminan makanan sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial