SERDANG, 7 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Liputan Media Tertinggi pada Anugerah Media 2025 Universiti Putra Malaysia (UPM) malam ini.
Anugerah utama itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan Bernama dalam memperluas laporan berkaitan kepakaran, perkongsian ilmu serta aktiviti penyelidikan universiti berkenaan melalui media mention tertinggi.
Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin sempena Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 di sini.
Selaku pemenang utama, Bernama membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil penghargaan.
Selain anugerah utama, Bernama turut mengungguli kategori Anugerah Liputan Portal Dalam Talian Tertinggi, sekali gus mengiktiraf peranan agensi tersebut dalam memperkasakan penyampaian maklumat digital berkaitan universiti berkenaan.
Bernama membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta plak dan sijil anugerah, diikuti Radio Televisyen Malaysia (RTM) di tempat kedua dan Malaysia Gazette di tempat ketiga, masing-masing menerima sijil penghargaan.
Kejayaan agensi berita itu diteruskan menerusi Bernama Radio yang mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat kedua dalam kategori Anugerah Liputan Radio Tertinggi.
Tempat pertama kategori itu dimenangi BFM Radio manakala tempat ketiga disandang Nasional FM.
Pemenang tempat pertama bagi kategori radio menerima hadiah wang tunai RM500, plak dan sijil manakala pemenang tempat kedua serta ketiga menerima sijil penghargaan.
Dalam pada itu, program bual bicara “Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV dipilih sebagai antara empat penerima Penghargaan Khas Program Bual Bicara kerana konsisten mengetengahkan pakar-pakar UPM, sekali gus meningkatkan kebolehlihatan universiti berkenaan.
Turut menerima penghargaan bagi kategori itu ialah program Malaysia Hari Ini (TV3), Selamat Pagi Malaysia (RTM) dan Awani Pagi (Astro Awani).
Sementara itu, Nur-ul Afida menyifatkan kemenangan Anugerah Liputan Media Tertinggi sebagai satu pengiktirafan besar terhadap komitmen berterusan agensi berita itu dalam menyokong penyebaran ilmu dan kepakaran institusi pendidikan tinggi (IPT).
Beliau berkata kejayaan berkenaan mencerminkan usaha kolektif seluruh warga kerja Bernama dalam menghasilkan kandungan berita, foto dan liputan berkualiti tanpa mengira kategori, khususnya membabitkan bidang pendidikan serta kepakaran universiti.
"Ini satu pencapaian terbaik Bernama pada suku pertama 2026 dan saya merakamkan syabas serta tahniah kepada semua warga kerja Bernama kerana tanpa kesungguhan mereka, tidak mungkin kita memenangi anugerah tertinggi ini," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Nur-ul Afida berkata Bernama akan terus memperkukuh kerjasama dengan UPM serta IPT lain menerusi pelbagai platform antaranya ruangan “Tinta Minda” dalam bahasa Melayu (https://www.bernama.com/bm/tintaminda/) dan “Thoughts” dalam bahasa Inggeris (https://www.bernama.com/en/thoughts/) yang memberi ruang kepada ahli akademik berkongsi pandangan serta hasil penyelidikan mereka.
"Platform berkenaan bukan sahaja membantu memperkenalkan kepakaran universiti kepada masyarakat tetapi juga membuka peluang kepada media untuk menghasilkan laporan susulan yang lebih mendalam berasaskan pandangan pakar," katanya.
Turut hadir mewakili agensi berita berkenaan ialah Penolong Penerbit Bernama TV Mohamad Zikirullah Zolkefli, Pengurus Kanan Bernama Radio (menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Radio) Endok Baleana Bachok serta Penolong Editor Kandungan Bernama.com Amrizan Madian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial