DUNIA

Trump Dakwa "Seluruh Tamadun Akan Musnah Malam Ini" Menjelang Tarikh Akhir Perjanjian Iran

07/04/2026 10:07 PM

ISTANBUL, 7 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa memberi amaran bahawa “seluruh tamadun akan musnah malam ini” ketika tarikh akhir yang ditetapkannya untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Iran hampir berakhir pada Selasa malam, lapor Anadolu Ajansi.

“Seluruh tamadun akan musnah malam ini, tidak akan dapat dikembalikan semula. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kemungkinan besar ia akan berlaku,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

“Namun, kini selepas perubahan rejim sepenuhnya berlaku, apabila pemikiran yang berbeza, lebih bijak dan kurang radikal menguasai keadaan, mungkin sesuatu yang luar biasa bersifat revolusioner boleh berlaku. Siapa tahu? Kita akan mengetahuinya malam ini, satu daripada detik paling penting dalam sejarah dunia yang panjang dan kompleks. Selama 47 tahun pemerasan, rasuah dan kematian akhirnya akan berakhir,” tambahnya.

Terdahulu, Trump mengancam untuk mengebom stesen janakuasa dan jambatan di seluruh Iran sekiranya Tehran gagal membuka semula Selat Hormuz dan mencapai persetujuan menjelang 8 malam Selasa waktu EDT (0000 GMT Rabu).

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei. Pihak berkuasa Iran tidak mengemas kini angka korban sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan kematian dan kerosakan infrastruktur selain menjejaskan pasaran global serta sektor penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan