AM

Malaysia Zahir Penghargaan Iran Benarkan Kapal Negara Lalui Selat Hormuz - PM

07/04/2026 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Iran yang membenarkan kapal minyak negara melalui Selat Hormuz.

Penghargaan itu dizahirkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan beliau bersama dengan Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi di sela-sela Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 hari ini.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan tenaga sekali gus membantu mengekang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dan menyokong kestabilan ekonomi negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Media melaporkan enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenarkan melalui perairan itu secara berperingkat.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Anwar dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lepas yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal negara ini menyambung semula perjalanan mereka.

Perjalanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan