AM

Peralihan Monsun: Kes Kebakaran Terbuka Turun Hampir 50 Peratus - KP Bomba

07/04/2026 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kes kebakaran terbuka di seluruh negara menunjukkan penurunan ketara susulan hujan kebelakangan ini, dengan jumlah kes harian kini berkurang hampir separuh berbanding minggu lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata kebakaran berskala besar melebihi dua hektar kini menurun secara drastik, malah hampir sifar.

“Pada minggu lepas kita menerima lebih 240 kes sehari (melibatkan kebakaran terbuka) dan sekarang kita menerima 119 hingga 120 kes sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti (CFLC) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas di sini hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar kebakaran terbuka yang melanda beberapa kawasan di negara ini berpunca daripada perbuatan manusia walaupun dengan motif berbeza.

“Ada orang bakar sampah atau bersihkan kebun kemudian api itu merebak, ada juga kes buka tanah pertanian yang akhirnya menyebabkan kebakaran lebih besar,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran membabitkan hutan, belukar dan kebun atau ladang di negara ini meningkat mendadak dari Januari tahun ini hingga 31 Mac dengan 12,938 kes.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata peralihan monsun yang membawa ribut petir dan angin kencang kini menyebabkan peningkatan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan dengan sekitar 20 kes sehari.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua balai bomba untuk menyesuaikan keutamaan operasi dengan memberi penekanan kepada kesiapsiagaan menghadapi insiden pokok tumbang di beberapa kawasan, di samping terus memantau kebakaran terbuka.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata JBPM kini memperkukuh usaha pendidikan awam melalui penubuhan CFLC, termasuk pelancaran pusat berkenaan yang ke-14 di BBP Sri Hartamas hari ini.

Beliau berkata pusat berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan keselamatan kebakaran kepada kanak-kanak tetapi turut dibuka kepada komuniti setempat untuk pelbagai aktiviti dengan elemen pendidikan kebakaran.

Katanya inisiatif itu merupakan pendekatan strategik jangka panjang dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat bagi mengurangkan risiko kebakaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan