KUCHING, 7 April (Bernama) -- Penguatkuasaan berkesan oleh agensi berkaitan penting bagi memastikan subsidi minyak kerajaan tidak disalah guna serta mengelakkan ketirisan bekalan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata penubuhan pasukan khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan seperti diumumkan kerajaan Persekutuan dapat membantu memastikan kawalan harga dan subsidi dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Abdul Karim berkata kenaikan harga minyak boleh memberi kesan berantai kepada kos tenaga seterusnya harga barangan lain yang bergantung kepada penggunaan bahan api.
“Di sinilah kerajaan perlu membuat pemantauan teratur melalui unit penguatkuasaan.
“Bagus Kerajaan Pusat membuat garis panduan seperti ini namun yang lebih penting lagi unit penguatkuasaan kita. Anda boleh menikmati manfaat seperti subsidi tetapi tanpa pemantauan, inisiatif itu tidak akan dijalankan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di sini hari ini.
Beliau berkata langkah kerajaan Persekutuan memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan signifikan dalam memastikan subsidi bahan api disalurkan kerajaan benar-benar memberi manfaat pada rakyat.
Abdul Karim berkata perbezaan ketara harga minyak antara Malaysia dan negara lain turut membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan bahan api sekiranya kawalan di sempadan tidak dilaksanakan dengan baik.
“Jika minyak di sini lebih murah, akan timbul kecenderungan untuk menyeludup ke kawasan lain. Jika pemantauan tidak dilakukan dengan teratur, ia boleh menyebabkan bekalan di kawasan kita berkurangan dan menjejaskan tujuan subsidi kerajaan,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan khas berkenaan untuk mempertingkat kawal selia aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau bunkering.
Fadillah berkata pasukan itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri bertindak sebagai sekretariat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial