KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) akan mewujudkan badan akreditasi untuk pensijilan asas mediator bagi memastikan kualiti perkhidmatan mediasi lebih terjamin, berkualiti tinggi serta diiktiraf.
Langkah berkenaan adalah satu daripada tiga pendekatan utama diumumkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pada majlis perhimpunan bulanan pagi tadi, bertujuan memperkasakan dan memperluas perkhidmatan mediasi komuniti di seluruh negara.
“Perkhidmatan mediasi komuniti ini diperkenalkan bagi mengurus konflik di peringkat kejiranan secara lebih harmoni dan berkesan, sekali gus mengelakkan pertikaian daripada menjadi lebih besar tanpa perlu melalui proses litigasi perundangan,” menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini.
Pendekatan lain termasuk pelancaran Handbook Kes-Kes Mediasi Komuniti terbitan JPNIN, yang mengumpulkan kes mediasi sebenar sebagai rujukan kepada mediator komuniti di lapangan, dengan tema ‘Mediator Komuniti Pemangkin Keharmonian Negara’.
Selain itu, KPN juga menubuhkan 12 Pusat Mediasi Komuniti yang akan beroperasi sebagai platform setempat untuk masyarakat mendapatkan khidmat mediasi secara mudah, cepat dan berkesan dalam menyelesaikan konflik komuniti.
Menurut KPN, perkhidmatan mediasi komuniti ini ditawarkan secara pro bono dan jumlah mediator bertauliah kini meningkat kepada 595 orang, berbanding 571 sebelum ini.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh perpaduan negara melalui pendekatan inklusif, proaktif dan berteraskan keharmonian komuniti,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial